steadyaku47

Saturday 28 April 2018

Rafizi on Streram Sinnasamy



Dari Rafizi Ramli : PENTING, SEBARKAN : 28 April 2018
PENGUNDI INDIA SELURUH NEGARA PERLU HUKUM PERMAINAN KOTOR BARISAN NASIONAL
Negara dikejutkan dengan peristiwa Pegawai Pengurus Pilihanraya (“Returning Officer”) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau (dalam kawasan Parlimen Rembau) yang menolak kertas pencalonan calon PH, Dr Streram Sinnasamy untuk membolehkan wakil BN, Dato’ Seri Mohamad Hassan menang tanpa bertanding.
Alasan yang diberikan adalah tiada kertas pencalonan yang dikemukakan sehingga jam 10 pagi iaitu tarikh akhir mengemukakan pencalonan.
Dr Streram Sinnasamy telah berada di perkarangan dewan pencalonan sejak pukul 8 pagi lagi. Beliau tidak dibenarkan masuk oleh pihak RO yang bertugas dan pegawai-pegawai polis atas alasan tiada pas masuk SPR. Beliau terus dihalang sehingga jam 10.03 pagi.
Pada jam 10.03 pagi, tiba-tiba pegawai RO membenarkan pula borang-borang pencalonan Dr Streram Sinnasamy dibawa masuk tetapi kemudiannya diumumkan tidak boleh diterima kerana telah melepasi tempoh waktu.
Saya dimaklumkan oleh wakil-wakil PH di dalam dewan bahawa Pengarah SPR Negeri Sembilan sebenarnya telah mengarahkan RO di situ untuk membenarkan Dr Streram mengemukakan borang penamaan seawal 930 pagi lagi, tetapi RO berkenaan melengah-lengahkan sehingga hanya membenarkan pada pukul 1003 pagi untuk dijadikan alasan menolak borang pencalonan.
Kerusi DUN Rantau adalah kerusi yang mempunyai pengundi India yang tinggi. Pecahan pengundi di DUN Rantau adalah: Melayu (53%), Cina (19%) dan India (27%). 
PH melalui KEADILAN telah mengarahkan Dr Streram Sinnasamy untuk menawarkan khidmat rakyat di DUN Rantau sejak 2 tahun lalu. Dr Streram adalah seorang pakar anasthethis yang berkhidmat di Nilai Specialist dan telah banyak berkhidmat dengan pengundi-pengundi di Rantau terutamanya pengundi India.
Sejak setahun lalu, kedudukan Dato’ Seri Mohamad Hassan nampak goyang apabila peralihan undi yang besar dijangka akan berlaku di kalangan pengundi-pengundi terutamanya pengundi India, yang dalam PRU yang lalu memberi sokongan kepada BN.
Tindakan tidak membenarkan calon PH mengemukakan borang pencalonan untuk menang percuma adalah satu tindakan yang bacul di pihak Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin.
Saya percaya pengundi-pengundi, terutamanya pengundi India di Negeri Sembilan dan seluruh negara dapat menilai sendiri bagaimana pimpinan tertinggi BN seperti Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin sangat takut dengan kebangkitan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum yang menuntut perubahan di Putrajaya.
Saya akan hadir ke Rembau pada hari Isnin untuk mempastikan pengundi-pengundi di Rembau menghukum Khairy Jamaluddin yang bersekongkol dengan Mohamad Hassan untuk menang percuma kerana takut bertarung.
Saya juga menyeru pengundi-pengundi India di Rembau untuk memberikan undi secara besar-besaran kepada calon PH di Rembau, Kolonel (B) Rosli untuk menghukum Khairy Jamaluddin dan Barisan Nasional. Sekiranya PH mendapat 60% sokongan pengundi India di Rembau, Khairy Jamaluddin akan ditewaskan.
Menewaskan Khairy Jamaluddin di Rembau adalah jalan terbaik untuk menghukum Mohamad Hassan, Khairy Jamaluddin dan Barisan Nasional yang berkomplot menafikan seorang profesional India mencabar Mohamad Hassan, dalam keadaan BN semakin goyah.
Sebarkan kepada seberapa ramai pengundi di Rembau, di Negeri Sembilan dan di seluruh negara.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

No comments:

Post a Comment