steadyaku47

Saturday 9 July 2011

Bersih : HARAKAH DAILY


Bersih:"Kita yakin pintu stadium akan dibuka untuk kita"
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 8 Julai: Kurang 24 jam menjelang Himpunan Bersih 2.0, penganjurnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) terus menerima tekanan dari pihak berkuasa termasuk permohonan permit berhimpun di Stadium Merdeka, akhirnya ditolak.

Biarpun berdepan halangan itu, Bersih yang disokong parti-parti politik dan 80 NGO tetap akan meneruskan hasratnya seperti yang diperuntukkan perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, mereka mengajak rakyat untuk berhimpun di luar Stadium Merdeka, jam 2 petang esok.

"Kepimpinan Bersih 2.0 mengulangi komitmen akan berada di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang esok. Kita akan bertemu di tempat letak kereta, dan percaya bahawa pintu akan dibuka untuk kita," kata mereka.

Dalam kenyataan itu mereka turut menzahirkan rasa kecewa dengan layanan pihak kerajaan dan pihak berkuasa terhadap keihlasan mereka.

Sedangkan kata mereka, hasrat perhimpunan itu sangat murni iaitu untuk menuntut daftar pemilih dibersihkan, sistem pengundian pos diperbaharui, bahawa dakwat kekal akan digunakan, tempoh minimum 21 hari kempen yang ditabal, akses yang bebas dan adil kepada media untuk semua yang diperuntukkan , institusi awam diperkukuhkan, dan rasuah serta politik kotor dihentikan.

"Pihak berkuasa telah meletakkan halangan demi halangan, padahal hanya perlu memberikan kerjasama yang ikhlas untuk memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat.

"Setelah berdepan pelawaan stadium yang tidak ikhlas, dinafikan permit, penangkapan, penahanan dan banyak lagi, kami merasakan bahawa kami telah melakukan segala yang termampu untuk menunjukkan keikhlasan dan niat baik kami dalam perundingan dengan kerajaan.

"Tetapi kita hanya dibalas dengan keputusan sebaliknya dan halangan besar," kata mereka lagi.

Tegas mereka, tidak ada sebarang sekatan yang akan memintas usaha ke arah keamanan dan keadilan apatah lagi demi menegakkan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad Bersih untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka esok.

“Ini adalah saat penting dalam sejarah dan kami yakin rakyat akan menyambut seruan untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang membentuk Malaysia. Bersama-sama kita berjuang untuk mewariskan kepada anak-anak kita sebuah negara yang adil, demokratik, dan penuh dalam kasih sayang untuk satu sama lain,” kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment