Kategori: Berita (Semasa), Terkini
|
KUALA LUMPUR – Yusnidah Hussain, 48, kakak kepada Allahyarham
Fairuz Nizam yang kes kemalangan mautnya menjadi viral di laman sosial
tahun lepas mendakwa dua anak saudara dalam jagaannya hanya menerima
RM12,000 sahaja sedangkan jumlah sumbangan orang ramai dianggarkan
kira-kira RM300,000.
Memetik kenyataannya seperti dilaporkan MalaysiaGazette, Yusnidah
mendakwa wang sebanyak RM12,000 itu pun hanya diperolehi selepas beliau
membuat laporan polis pada 22 Jun tahun lepas.
Menurutnya lagi, semua wang sumbangan orang ramai berjumlah RM300,000
itu dimasukkan ke akaun bank atas nama dua adiknya yang lain.
“Saya sedih kerana wang yang sepatutnya menjadi hak dua anak saudara
saya tidak sampai ke tangan mereka untuk digunakan bagi perbelanjaan
sekolah dan harian demi masa depan.
“Alasan yang diberikan oleh adik-adik saya, wang itu hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka,” ujarnya.
Dalam laporan yang sama, Yusnidah berkata kedua-dua adiknya yang
diamanahkan menerima wang sumbangan tersebut bagi pihak dua anak saudara
yatim piatu itu menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan sebagai
pengesahan wang itu milik mereka.
“Mereka turut memberi alasan dengan menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan bahawa wang itu sah milik mereka mengikut Islam.
“Padahal saya yang menjaga dua anak saudara saya selepas seminggu kematian ibu bapa mereka hingga ke hari ini.
“Namun disebabkan pertikaian wang sumbangan itu, hubungan kami
adik-beradik berpecah sehingga berlaku saman-menyaman dan kes kini
dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur,” katanya.
Kemalangan maut melibatkan Pajero
dengan beberapa buah kereta MyVi mengorbankan Fairuz Nizam, isteri dan
bayi mereka pada Mei tahun lepas.
Yusnidah mengadakan sidang media petang tadi ditemani suami serta
kedua-dua anak saudaranya, Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah,
5.
Dalam kemalangan pada 2 Mei tahun lepas itu, Fairuz Nizam, 35, dan
isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa
yang baru berusia 7 bulan terbunuh selepas Pajero yang dinaiki mereka
berlanggar dengan dua MyVi di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada pukul
1.05 pagi.
Kes tersebut menarik perhatian ramai susulan terdapat saksi yang
mendakwa pemandu MyVi itu terlibat dalam perlumbaan sebelum berlakunya
kemalangan maut tersebut.
Mengulas lanjut, Yusnidah yang kini mendapat hak penjagaan sementara
kedua-dua anak saudaranya dari mahkamah turut mendedahkan terpaksa
menutup restoran dan kedai kek yang diusahakan gara-gara konflik
keluarga disebabkan isu wang sumbangan itu.
Dalam sidang media yang sama, beliau turut meluahkan rasa kesal
apabila wang pampasan insurans arwah adiknya telah dituntut oleh
keluarga isteri Fairuz Nizam tanpa satu sen pun diberikan kepada dua
anak saudaranya.
“Saya menjaga mereka siang malam dan melayan tangisan trauma pada waktu-waktu tertentu.
“Jangan kata hendak bertanya khabar, hantar buah atau makan pun tidak pernah.
“Tapi bila timbul isu wang sumbangan orang ramai dan pampasan
insurans, mereka cepat ambil seolah-olah hak mereka,” katanya kesal.
Gambar kenangan Allahyarham Fairuz
Nizam dan isterinya, Allahyarham Nova Safitri Azhari dan bayi,
Allahyarham Nur Firuza Annisa dan dua lagi anak mereka Nur Firuza
Amira,dan Nur Firuza Aqilah.
Mengulas perkembangan siasatan berkaitan isu wang sumbangan orang
ramai, Yusnidah meminta bantuan para penderma supaya membuat laporan
polis bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami sudah membuat laporan polis dan pihak polis tidak boleh ambik tindakan dengan alasan hal keluarga.
“Polis hanya boleh mengambil tindakan jika para penderma yang pernah
menderma tampil membuat laporan kerana berlaku telah berlaku pecah
amanah.
“Kami ada bukti penyata akaun bank peribadi yang menunjukkan jumlah yang diterima kira-kira RM300,000.
“Justeru kami mengalu-alukan orang ramai yang pernah menderma kepada Amira dan Aqilah tampil membuat laporan polis,” katanya.
Lain-Lain Berita
– Kemalangan Maut Libatkan Dua Kereta MyVi, Kata Saksi –
– Kemalangan Maut Libatkan Dua Kereta MyVi, Kata Saksi –
No comments:
Post a Comment