steadyaku47

Saturday, 17 February 2018

Zahid Aziz : 5.9 % Siapa yang Punya?

Zahid Aziz C72S:

WEDNESDAY, 14 FEBRUARY 2018


Rakyat masih tidak memahami bagaimana Dato’ Seri Najib boleh bercakap tentang pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.9 %, tetapi pada masa yang sama harga barangan harian naik melambung sehingga benar-benar membebankan rakyat. Apakah maknanya 5.9 % jika harga Ikan Kembung Hitam naik sehingga 19.5%, Sos Maggi Cili naik 38.8%, Sardin Jenama Ayam naik 30.6% dan Kubis Cameron naik mencecah 29%. Kerajaan UMNO-BN tahu akan semua ini, tetapi mereka tetap mahu menunjukkan angka 5.9% yang tidak mempunyai apa-apa makna bagi rakyat biasa seperti kita. Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menjelaskan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kuasa belanja individu kini tidak lagi mempunyai kaitan, bekas perdana menteri itu juga berkata, kos hidup yang tinggi telah melampaui kenaikan pendapatan serta menjejaskan kuasa beli pengguna. “Pertumbuhan KDNK (kini) tidak bermakna kepada rakyat,” kata Pengerusi Pakatan HARAPAN itu dengan tegas. 
Kita juga dikejutkan dengan kenyataan berterus-terang Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pemilik hypermarket Mydin yang mendedahkan, sepanjang pembabitan syarikatnya dengan projek KR1M, Mydin mengalami kerugian lebih RM100 juta. Dengan kata mudah, 5.9% pertumbuhan yang dibanggakan oleh Najib sebenarnya tiada nilai signifikan di sisi ahli perniagaan seperti Ameer – mereka tidak dapat menikmati apa yang sedang dibanggakan oleh Najib itu. 
Malah, semalam Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran, dalam laporan yang lengkap dengan data, yang menunjukkan rumah di negara ini “tidak mampu dibeli” pada 2016 oleh standard antarabangsa. Dan ia berterus untuk tahun 2017 dan 2018. Menurut BNM, sejak 2012, bekalan rumah baharu semakin berkurangan berbanding dengan pertambahan permintaan oleh isi rumah. Dan Sepanjang tahun berkenaan hingga suku pertama 2017, hanya 24% daripada pelancaran baharu dijual pada harga RM250,000 atau kurang, dan hanya 35% isi rumah Malaysia yang mampu memilikinya. Sejak 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat 9.8% manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3%. 
Kedudukan yang tidak seimbang itu paling ketara dari 2012 hingga 2014, apabila pertumbuhan harga rumah (26.5%) meningkat lebih sekali ganda daripada tahap pertumbuhan pendapatan (12.4%). Hal ini semakin tampak jelas apabila BNM berkata tahap jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual di Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh sedekad, dengan 146,497 unit pada suku kedua (S2) 2017, berbanding 130,690 unit pada suku yang sama pada tahun sebelumnya. Pada suku kedua 2017, hampir 82% unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000. 
Bayangkan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah walaupun harganya RM250,000 – maknanya rakyat Malaysia khususnya yang berumur bawah 40 tahun sememangnya tiada wang dan kuasa membeli, maka apakah ertinya 5.9% yang dibanggakan oleh Najib, sekiranya ia tidak memberi apa-apa makna pun kepada generasi B40? 
Jelaslah angka 5.9% pertumbuhan ekonomi negara yang diumumkan oleh Najib, realitinya tidak diketahui siapakah yang menikmatinya. Pada ketika ahli korporat seperti Datuk Ameer Ali Mydin mengalami kerugian ratusan juta, pada ketika generasi B40 bergelut dan tidak mampu membeli rumah bernilai RM250K dan pada ketika pak cik dan mak cik di kampung berkira-kira untuk membeli ikan Kembung serta sayur-sayuran yang harganya mencanak naik. Lantas Najib dan ahli kabinetnya tiba-tiba muncul, menjaja kisah pertumbuhan ekonomi negara 5.9% yang sebenarnya tidak dirasai pun oleh rakyat kebanyakan. Percayalah, sekiranya ekonomi Malaysia benar-benar kukuh bajet tahunan untuk kementerian-kementerian penting seperti Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan dipotong. Dan para penjawat awam, khusus di universiti tidak akan dikerah untuk menjana pendapatan bagi menampung realiti kewangan negara yang sememangnya tidak sihat.
Maka timbullah satu persoalan, milik siapakah 5.9% yang diceritakan oleh Najib itu? Golongan manakah yang memperoleh manfaatnya? Jawapannya hanya akan kita ketahui apabila UMNO-BN ditumbangkan dalam PRU-14 ini.




No comments:

Post a Comment