steadyaku47

Tuesday, 16 February 2016

Rafizi Ramli : Tabung Haji rugi RM933 juta dari pelaburan di dalam FGV


Tabung Haji rugi RM933 juta dari pelaburan di dalam FGV, syarikat kesayangan Najib Razak. Lepas ini mesti ada orang cakap saya kuda tunggangan Cina untuk merosakkan institusi Islam. 

Untuk semak urusniaga terperinci Tabung Haji dengan FGV, saya telah kira setiap satu saham seperti di dalam lampiran ini:
https://drive.google.com/…/0B2GRLI8QVQQgSzk5UlBaRTlKa…/view…

Untuk paparan penuh graf harga saham dan lain-lain, lawat capaian
http://rafiziramli.com/…/tabung-haji-menanggung-kerugian-t…/
Mohon sebarkan maklumat ini kepada seberapa ramai.

16 FEBRUARI 2016
TABUNG HAJI MENANGGUNG KERUGIAN TERKUMPUL RM933 JUTA AKIBAT PELABURAN DI DALAM FELDA GLOBAL VENTURES

Saya meneliti kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak di blog beliau bertarikh 12 Februari 2016 mengenai isu-isu yang dibangkitkan berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji. Sementara saya memuji langkah beliau menjawab sendiri isu-isu yang saya timbulkan dan tidak diserahkan bulat-bulat kepada aktivis maya (“cybertroopers”) Umno di bawah seliaan Dato’ Ahmad Maslan, kenyataan Perdana Menteri itu langsung tidak menjawab perkara-perkara pokok yang diajukan.

Ada beberapa perkara pokok yang telah saya ajukan seperti berikut:
1. Kedudukan rizab Tabung Haji yang terus kekal negatif bagi tahun kewangan 2015 iaitu dua tahun berturut-turut

2. Teguran-teguran oleh Bank Negara Malaysia dalam surat gabenornya bertarikh 23 Disember 2015 yang menjadi semakin dizahirkan apabila kedudukan rizab Tabung Haji terus menjadi negatif pada nilai yang lebih besar bagi tahun kewangan 2015

3. Penglibatan ahli politik yang bukan ahli di dalam kepimpinan Tabung Haji iaitu Datuk Seri Azeez Rahim yang melanggar prinsip tata kelola yang sewajarnya dipamerkan Tabung Haji

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak menjawab langsung ketiga-tiga isu pokok yang saya ajukan ini. Sebaliknya beliau merendahkan martabat diri beliau sendiri apabila mengemukakan hujah yang tidak berbeza dari hujah-hujah aktivis maya Umno; iaitu kononnya isu-isu yang ditimbulkan adalah satu serangan bermotifkan politik. Malah, beliau cuba pula mengheret Kerajaan Arab Saudi bila mana beliau tidak mampu menyangkal unjuran-unjuran kewangan yang saya telah kemukakan kepada rakyat.

Asas kritikan-kritikan saya ialah campur tangan politik di dalam pengurusan Tabung Haji sehingga keputusan pelaburan Tabung Haji dilihat bermatlamatkan politik dan bukannya pulangan terbaik kepada pendeposit. Contoh yang paling baik ialah penglibatan Tabung Haji sebagai pemegang saham ketiga terbesar (pegangan 7.78% setakat 31 Disember 2015) di dalam Felda Global Venture Berhad (FGV) selepas Felda dan Koperasi Permodalan Felda.

FGV adalah ilham Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri yang telah digunakan sebagai salah satu bahan kempen dalam PRU13 yang lalu untuk memenangi undi peneroka Felda, sedangkan majoriti penganalisa pasaran berpendapat tindakan menyenaraikan FGV bukanlah satu tindakan yang bijak. Kesilapan Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menyenaraikan FGV itu kini terbukti apabila prestasi saham FGV terus merudum seperti berikut:

Oleh kerana FGV ini satu inisiatif penting pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, institusi pelaburan milik kerajaan yang dimodalkan dengan wang rakyat terpaksa turut serta. Tabung Haji muncul sebagai pemegang saham bukan Felda yang terbesar pada pegangan 7.78%.
Saya telah menyemak setiap urusniaga jual beli saham FGV oleh Tabung Haji atau pengurus dananya Maybank Asset Management Sdn Bhd (yang memegang saham FGV bagi pihak Tabung Haji pada jumlah yang sangat kecil). Saya juga telah mengira jumlah yang dibayar untuk membeli saham, jumlah yang diterima apabila saham dijual dan kerugian terkumpul seperti yang diperincikan di dalam lampiran.

Kesimpulan dari analisa pergerakan saham FGV dan untung/(rugi) yang dialami oleh Tabung Haji adalah seperti berikut:

1. Kerugian terkumpul yang ditanggung oleh Tabung Haji ialah RM933 juta

2. Sepanjang Tabung Haji terlibat di dalam FGV, keuntungan hasil dari penjualan saham FGV hanyalah RM7.6 juta iaitu terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul yang dibayar oleh Tabung Haji untuk membeli saham-saham FGV iaitu RM1.3 bilion

3. Kali terakhir Tabung Haji menjual saham FGV ialah pada 12 Julai 2012 iaitu pada awal penyenaraian sebanyak 750,000 saham. Semua penjualan saham FGV yang direkodkan selepas itu dibuat oleh pengurus dana Tabung Haji sama ada Maybank, AmInvest atau CIMB yang melibatkan jumlah saham yang sangat kecil dan tidak menjejaskan pegangan keseluruhan Tabung Haji di dalam FGV. 

Ini bermakna walaupun harga saham FGV mula menunjukkan penurunan mendadak, Tabung Haji tidak mengambil apa-apa langkah melindungi dana pendeposit sebanyak RM1.3 bilion yang telah dilaburkan di dalam FGV. Ini berbeza dengan institusi pelaburan kerajaan yang lain seperti KWSP dan KWAP yang dilihat cuba untuk mengurangkan kerugian mereka dan mengambil langkah mengurangkan pegangan di antara 2012 hingga 2015.

Tindakan Tabung Haji yang langsung tidak mengambil apa-apa tindakan melindungi dana pendeposit dalam keadaan sudah jelas pelaburan di dalam FGV merugikan bukanlah satu sifat profesional yang biasa ditunjukkan oleh sebuah institusi pelaburan bertaraf antarabangsa seperti Tabung Haji.

Tindakan terus memegang saham FGV sehingga menyebabkan kerugian terkumpul RM933 juta sudah tentu berkait rapat dengan kedudukan FGV sebagai inisiatif utama pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak walaupun dalam keadaan biasa, sebuah institusi pelaburan tidak akan berkelakuan seperti Tabung Haji.

Sebab itu rakyat ada hak untuk mendesak supaya semua campur tangan politik di dalam Tabung Haji perlu dihentikan segera untuk mengelakkan berulangnya kerugian besar seperti pelaburan di dalam FGV yang dilihat bersifat politik. 

Langkah awal untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa Tabung Haji akan dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN