Kolej Sultan Abdul Hamid dan Mohammed Iskandar Kutty
Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar ini dibina tahun 1908. Idea membangunkan sebuah sekolah aliran Inggeris ini dicetuskan oleh Regent Tunku Mahmud demi memberi pelajaran serta membawa arus modenisasi kepada orang-orang Kedah.
Demi memastikan hasrat ini tercapai, Kerajaan Kedah telah melantik yang bernama Mohammed Iskandar (menurut DS Zahid Hamidi ada nama Kutty di belakang nama Mohammed Iskandar) sebagai Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid yang pertama.
Ya pengetua pertama Kolej yang dianggap antara terhebat dalam sejarah moden Malaysia namanya Mohammed Iskandar. Bukan John. Bukan Patrick. Bukan Hamidi. Namanya Mohammed Iskandar. Dikatakan berketurunan Malabari dari India.
Kini sudah lebih 100 tahun Kolej Sultan Abdul Hamid berdiri di utara. Ianya dianggap antara institusi teragung di utara Semenanjung Tanah Melayu kerana melahirkan ramai tokoh dari pelbagai lapangan. Justeru kerana pengorbanan seseorang bernama Mohammed Iskandar menjayakan dan melaksanakan cita-cita membina suatu Kolej yang hebat.
Iya Si Malabari itulah. Kerana dialah maka dua Perdana Menteri datangnya dari Kolej Sultan Abdul Hamid dan Kedah; Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al Haj dan Tun Mahathir Mohammed yang merupakan anak kepada Mohammed Iskandar itu. Mahu saya senaraikan siapa lagi dari Kolej Yang Maha Hebat ini? Cukuplah sekadar mengetahui Jeneral PAT Melayu Pertama, Ketua Polis Negara yang terkorban diserang hendap pengganas, 5 mantan Ketua Hakim Negara, Mantan speaker Dewan Rakyat Tun Zahir, dua sastrawan negara; Abdullah Hussain dan Shahnon Ahmad, berpuluh menteri kabinet serta Kassim Ahmad dan Chandra Muzaffar. Jasa siapa jika bukan kerana jasa Mohammed Iskandar Kutty yang dimomokkan YB Dato' Seri Timbalan Perdana Menteri.
Saya menulis ini bukan mahu melecehkan Izuddin sekolah Timbalan PM. Cuma bagi kami di KSAH, di Perak hanya ada 3 sekolah sahaja yang kadang-kadang sebaris dan senafas namun selalunya mereka semput di belakang iaitu MCKK, Anderson dan STAR. Yang lain faham-fahamkan lah kedudukan masing-masing.
Selain itu eloklah sesiapun mahu melecehkan keturunan sesiapapun belajarlah dari Sejarah. Saya kurang pasti di Bagan Datoh itu ramainya berketurunan apa. Ada yang sebut di Sungai Manik itu ramainya berketurunan Banjar. Mungkin juga Mendailing. Mungkin juga Jawa. Namun sebelum kemerdekaan sekitar tahun 30an dan 40an itu orang Banjar, Mendailing mahupun Jawa tidak dikenali sebagai Melayu. Melayu itu Melayu, yang disebut tadi bukan. Itu kerana kerana bila tahun 40an ada rusuhan orang Banjar dengan orang Cina, orang Melayu tidak ikut campur. Mereka menyebutnya itu hal orang Banjar bukan hal orang Melayu.
Orang Bugis dan Minangkabau beruntung waktu itu kerana sudah tertubuh kesultanan masing-masing di Semenanjung Tanah Melayu ini maka tidaklah dipandang enteng mereka ini oleh orang Melayu.
Akan tetapi selepas Merdeka, sesuai dengan maksud Kemerdekaan serta Perlembagaan itu maka semuanya menjadi Melayu. Bukan kerana darah akan tetapi kerana sebuah Persekutuan yang pertama kalinya diketuai seorang putera raja dari Kerabat Kesultanan Berdaulat paling purba dan kemudiannya pada tahun 1981 oleh anak seorang pengetua yang kini dilecehkan sebagai Malabari Kutty hatta jasanya mendidik menjulang sehingga ke langit.
No comments:
Post a Comment