steadyaku47

Saturday 6 February 2016

Shahbudin dot kom on Apandi Ali : Alamak....Hujah Agamalah Pulak!




Friday, 5 February 2016

ALAMAK...HUJAH AGAMALAH PULAK!!

Adakah ini suatu perkembangan baru atau tanda-tanda sudah kehabisan hujah?

Peguam Negara, Apandi Ali  hari ini membalas serangan Tun Mahathir Mohamad terhadapnya berhubung keputusannya membersihkan nama Perdana Menteri, Najib Razak yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini dengan mempersoalkan adakah kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengikut landasan serta ajaran Islam.

Beliau berhak beri pandangan, tetapi saya ada keraguan sama ada apa yang beliau cakap mengikut ajaran Islam atau tidak, kata Apandi kepada sebuah portal berita.

Alamak...dah guna hujah agama pulak!!

Kenapa Apandi tidak menjawab secara " direct" dan berfakta semua kritikan Tun Mahathir terhadapnya?

Bukankah sebagai peguam negara, beliau sewajarnya melontarkan segala hujah berlandaskan undang-undang untuk mempertahankan keputusannya?

Mengapa kali ini beliau memilih hujah dan elemen yang menjurus kepada agama dalam mempertahankan keputusannya dan membalas balik serangan Tun Mahathir itu?

Adakah Apandi sudah kehabisan hujah undang-undang atau merasakan apa pun alasan perundangan, jika dilontarkannya, dalam isu beliau melepaskan Najib daripada sebarang pertuduhan jenayah itu, tidak mampu meyakinkan bukan saja Tun Mahathir, tetapi juga rakyat negara ini?

Cumanya, terlanjur Apandi sudah meragui apakah kritikan Tun Mahathir terhadapnya berlandaskan ajaran Islam atau sebaliknya, kita tentunya ingin mengetahui beberapa perkara berkaitan keputusannya melibatkan Najib itu dari sudut agama juga.

Antaranya, apakah keputusan beliau menolak kertas siasatan SPRM terhadap Najib benar-benar mengikut ajaran Islam?

Apakah prinsip dan ajaran agama dalam menegakkan kebenaran serta keadilan benar-benar sudah diperhalusi dalam keputusan beliau menolak tiga pertuduhan yang dikatakan sudah dipersiapkan oleh SPRM terhadap Najib?

Apakah keputusannya memberikan arahan kepada SPRM agar menghentikan siasatan dan menutup terus fail berkaitan Najib juga sepenuhnya berlandaskan ajaran Islam?

Apakah tindakannya tidak memberi kebenaran kepada SPRM melakukan siasatan di bawah undang-undang bersama atau MLA bagi memperolehi dokumen-dokumen di luar negara berkaitan derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang diterima Najib, turut betul-betul menepati ajaran Islam yang sebenar-benarnya?

Jika beliau boleh menyoal Tun Mahathir sama ada mengikut ajaran Islam atau tidak, tentunya tiada masalah bagi Apandi jika beliau juga disoal sedemikian rupa.

Malah, amat terpuji sebenarnya jika sebelum menyelar tindakan orang lain sama ada berlandaskan ajaran agama atau sebaliknya,  Apandi menyuluh secara jujur ke dalam dirinya terlebih dahulu.

Sesekali, selepas sembahyang dan ketika masih berada di atas sejadah, renung-renung dan tenung-tenunglah semua rentetan peristiwa yang bermula daripada pelantikan beliau sebagai Peguam Negara sehinggalah ke hari Najib dibebaskan sepenuhnya.

Di mana diletakkan agama ketika itu? (SH 05/02/2016).

No comments:

Post a Comment