steadyaku47

Sunday 12 June 2016

Dollah Kok Lanas meninggal dunia


Dollah Kok Lanas meninggal dunia
SHAH ALAM - Kolumnis Sinar Harian, Dollah Kok Lanas (DKL) atau nama sebenarnya Tan Sri Abdullah Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 83 tahun di Hospital Pantai Kuala Lumpur, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Allahyarham dilaporkan menderita kanser sejak setahun lalu.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub melalui akaun Twitternya, sebentar tadi.

“Baru meninggal dunia, saudara saya, Ayoh Lah atau Tan Sri Abdullah Ahmad atau DKL di Hospital Pantai sekejap tadi,” tulisnya.

Sementara, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali ketika dihubungi berkata, beliau mengenali Allahyarham sejak DKL menjadi setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya kenal beliau lama dulu ketika saya mula-mula menjadi wartawan. Sewaktu itu beliau setiausaha politik Tun Razak. Saya mula kenal dia apabila beliau banyak bercampur dengan kami di Parlimen.

“Tapi secara peribadi saya rapat dengan beliau lima tahun terakhir ini oleh sebab beliau menjadi kolumnis kita. Saya selalu pergi menemuinya dan beliau pun selalu datang ke pejabat Sinar Harian,” katanya kepada Sinar Online.

Bercerita tentang keperibadian Allahyarham, Abd Jalil akui DKL merupakan seorang yang berfikiran terbuka.

“Sepanjang menjadi wartawan, beliau banyak mencurahkan ilmu kepada saya. Walaupun beliau lama berkhidmat dengan kerajaan, namun fikirannya amat terbuka.

“Kalau tak betul, dia kata tak betul tanpa mengira sesiapa,” katanya.

Allahyarham meninggalkan balu, Puan Sri Fauzah Mohamad Darus dan tiga orang anak.

Difahamkan pada 22 Februari 1969, Tun Abdul Razak mengadakan jamuan meraikan perkahwinan Allahyarham bersama isterinya di Dewan Banquet Parlimen iaitu jamuan perkahwinan pertama dan terakhir dibenarkan berlangsung di Parlimen.

Allahyarham lahir pada tahun 1933 di Kok Lanas, Kelantan dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Bandar, Kok Lanas dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (Januari 1948-Disember 1954) sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Cambridge dan Universiti Harvard (1982-1985).

Allahyarham merupakan bekas setiausaha politik Tun Abdul Razak dan beliau bekerja dengan Perdana Menteri kedua itu selama 14 tahun bermula 1962 hingga 1976.

Sekembalinya dari Amerika Syarikat ketika berusia 25 tahun, beliau dilantik menjadi ketua Bahagian Umno Kok Lanas, Kelantan dan Pegawai Khas Tun Razak (1962).

Kemudian Allahyarham dilantik menjadi Timbalan Menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 1974-1976) setelah menang di Parlimen Machang dan beliau kemudiannya menang bertanding kerusi Parlimen Kok Lanas, Kelantan pada pilihan raya umum tahun 1986.

Jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan Berita Harian (2002-2003).

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

No comments:

Post a Comment