steadyaku47

Sunday 25 December 2016

Jumlah kakitangan pejabat Perdana Menteri 142 orang. Jumlah kakitangan kediaman Perdana Menteri 27 orang.



  • 22 DISEMBER 2016DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK MEMPUNYAI 169 KAKITANGAN KERAJAAN DI PEJABAT DAN KEDIAMAN

    Dalam keadaan kerajaan telah memotong pelbagai peruntukan, Jabatan Perdana Menteri sering menjadi tumpuan kerana peruntukan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kekal tinggi berbanding dengan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang menjadi mangsa pemotongan peruntukan.

    Sebelum ini, banyak tumpuan diberikan kepada peruntukan projek yang dimasukkan di bawah senarai Perdana Menteri. Apa yang tidak mendapat perhatian rakyat sebelum ini ialah belanja penggajian setiap tahun untuk kesemua kakitangan peribadi di pejabat Perdana Menteri (bertanggungjawab terus kepada hal ehwal Perdana Menteri, bukannya jabatan-jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri).

    Senarai kakitangan yang bertugas khusus untuk pejabat Perdana Menteri dan kediaman Perdana Menteri boleh didapati di mukasurat B6-1 ke B6-6 (bagi pejabat Perdana Menteri) dan B6-12 ke B6-13 (bagi kediaman Perdana Menteri).

    Saya sertakan jumlah kakitangan bagi pejabat Perdana Menteri dan kediaman Perdana Menteri seperti berikut:

    Jumlah kakitangan pejabat Perdana Menteri = 142 orang
    Jumlah kakitangan kediaman Perdana Menteri = 27 orang

    Maka, jumlah kakitangan kerajaan yang berkhidmat secara khusus dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah 169 orang, termasuklah 3 orang tukang masak, 1 ketua pelayan, 4 pegawai perkhidmatan pelanggan dan hampir 20 orang pembantu am yang bertugas di kediaman rasmi Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah.

    Saya bandingkan jumlah kakitangan ini (seramai 169 orang) dengan jumlah keseluruhan kakitangan White House yang berkhidmat untuk Presiden Amerika Syarikat seramai 475 orang sahaja (senarai di https://www.whitehouse.gov/briefing-room/disclosures/annual-records/2015). Pada jumlah 169 orang, ini bermakna Dato’ Seri Najib menggunakan satu pertiga jumlah kakitangan White House yang berkhidmat khusus kepada beliau, sedangkan skop dan kerumitan pentadbiran Amerika Syarikat adalah beratus kali ganda lebih rumit dari Perdana Menteri Malaysia.
    Sebab itu saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah menunjukkan teladan yang baik dengan menyusun kembali organisasi pejabat dan kediaman mereka yang dibayar dengan wang rakyat, agar tenaga kakitangan sedia ada disalurkan kepada jabatan-jabatan lain yang lebih berurusan dengan rakyat.

    Saya juga menyeru supaya Dato’ Seri Najib mengumumkan sendiri apa bentuk penjimatan kos yang akan dibuat oleh beliau di pejabat dan kediaman rasmi beliau, supaya beliau kemudiannya dapat pula mengarahkan ketua-ketua jabatan yang lain mengurangkan belanja.

    RAFIZI RAMLI AHLI PARLIMEN PANDAN NAIB PRESIDEN KEADILAN


    Relevant Link : The SULTANIZATION of UMNO leaders.


No comments:

Post a Comment