with thanks to :
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN
Bayangkan Masa Depan Kita…
Antara kelebihan manusia adalah
menggunakan imaginasi untuk membayangkan masa depan yang lebih
membahagiakan. Ada yang menggelarnya wawasan dan ada yang mengatakan ia
angan-angan mat jenin.
Namun, bayangan ini penting untuk mereleasasikan impian bagi setiap manusia.
Bayangkan, desakan rakyat supaya prinsip ‘kuasa dari rakyat untuk
rakyat’ -di mana semua cabang kenegaraan iaitu eksekutif, parlimen dan
kehakiman benar-benar independen, dan mampu bertindak sebagai
penimbang-tara dalam konsep pemisahan kuasa demokrasi yang dipantau
media yang bebas. Peluang dan ruang untuk salahguna kuasa dan rasuah
dapat jua disekat akhirnya.
Bayangkan sebuah negara yang berlandaskan demokrasi di mana rakyat
dapat menentukan siapa yang berhak diberi amanah memerintah demi
kepentingan semua. Jika prestasi dan hasil pentadbiran tidak memenuhi
aspirasi rakyat, maka di dalam sebuah pilihan raya yang bersih, rakyat
berkuasa menukar pemerintah secara aman.
Bayangkan sebuah dewan Parlimen yang benar-benar mewakili hak rakyat
yang dapat memantau urusan pentadbiran kerajaan secara telus melalui
jawatankuasa tetap, badan khazanah negara Petronas diletak dibawah
kawalselia Parlimen serta semua perjanjian antarabangsa yang hanya
diluluskan setelah mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar peristiwa
penyerahan tanah sempadan negara seperti Pulau Batu Putih atau Blok L
dan M tidak berulang. Malah kepentingan serta keselamatan rakyat
didahulukan dan dipelihara di dalam isu Lynas atau lombong emas di Bukit
Koman, Raub.
Bayangkan sebuah badan kehakiman yang bebas di mana segala
perundangan termasuk perlembagaan ditegakkan secara adil. Mungkinkah
mereka yang memperkosa anak-anak gadis dibawah umur maupun jenayah
rasuah yang besar lagi terang akan diadili dengan saksama?
Bayangkan jika semua berita yang diterima adalah dari media yang
bebas. Memang benar apabila dikatakan, ‘maklumat itu adalah kuasa’.
Berita mengenai kejayaan mahupun salah laku termasuk skandal rasuah dan
konspirasi tidak terlepas daripada halaman berita yang mampu menjadi
‘pelindung demokrasi’.
Bayangkan perpaduan dan semangat muhibah diantara semua bangsa dan
agama tanpa prasangka, tanpa propaganda pecah-belah yang sengaja
diapi-apikan untuk tujuan politik sempit. Kepelbagaian budaya menjadi
kekuatan dan kebanggaan kita.
Bayangkan angkatan tentera yang diberikan kelengkapan sepatutnya
sepertimana yang telah dinasihatkan oleh DYMM Sultan Johor yang
mendapati bukan sahaja kualiti kelengkapan kor Gerak Khas rendah yang
boleh membahayakan nyawa anggota tentera kita dengan contoh kos
kenderaan Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang 4 kali ganda atau lebih
RM500,000 daripada apa yang dibeli sendiri oleh Sultan Johor yang
merangkap Kolonel-Kor tersebut. Bila diambil kira harga kapal selam,
kereta perisai, helikopter, kapal perang, pesawat jet pejuang dan aset
pertahanan lain yang terlalu mahal, timbul kesedaran: kalau negara sudah
dibangkrapkan siapa yang hendak menyerang kita?
Bayangkan kadar jenayah dikawal apabila pasukan polis digunakan
secara berkesan memerangi penjenayah dan bukan mengintip rakyat sendiri
lebih dari yang patut. Polis menjadi teman sejati dan pelindung harta
dan nyawa rakyat tanpa memihak kepada elit sahaja.
Bayangkan penjawat awam yang berdedikasi tanpa dibelenggu pemerintah
untuk menjayakan agenda rakyat dan bukan agenda golongan atasan.
Kejayaan pentadbiran awam akan menentukan keadilan di dalam pemberian
skim gaji dan kemudahan setimpal yang memelihara maruah dan harga diri
secara berterusan.
Bayangkan harga minyak turun, harga kereta turun, harga rumah mampu,
harga elektrik turun, pendidikan percuma akibat penstrukturan semula
dasar ekonomi termasuk menambah baik sistem percukaian, menghalang
pemusatan harta dan kuasa ekonomi ke tangan beberapa individu terpilih.
Inilah yang dikatakan harta negara adalah harta rakyat.
Bayangkan rakyat akhirnya akan mengetahui kebenaran bagaimana ekonomi
negara kita dimiskinkan dengan siasatan menyeluruh siapa dan bagaimana
kekayaan negara dijarah. Senarai nama-nama mereka yang kaya-raya hasil
daripada rasuah, tirisan ekonomi, salah guna kuasa dan pembaziran yang
disengajakan akan terpahat pada ‘Tugu Rasuah’ sebagai pengajaran
generasi akan datang.
Bayangkan budaya politik yang sihat dan murni dimana perdebatan
mengenai dasar hala-tuju dan pendekatan pentadbiran menjadi utama dan
bukannya politik dendam, politik ketakutan, politik kebencian, politik
ganas dengan berbagai propaganda mitos ‘Melayu akan hilang kuasa’ serta
konspirasi fitnah lucah politik dijadikan teras perjuangan
mempertahankan kedudukan dan pegangan kuasa.
Bayangkan bangsa Melayu menjadi bangsa contoh bagaimana sebuah negara
Islam demokrasi berparlimen ditegakkan oleh sebuah bangsa yang yakin
pada jatidiri, berpegang kepada prinsip-prinsip mulia dan mencerminkan
keimanan sejagat tanpa perlu berbahasa kasar, merendahkan kaum lain,
mencaci lucah, memfitnah dan merasa takut pada manusia berkuasa lagi
berpangkat. Ini adalah bangsa beriman lagi budiman menjadi pelindung hak
dan prinsip demokrasi untuk semua.
Bayangkan semua ini mampu menjadi realiti tidak lama lagi kerana,
rakyat ada kuasa membuat pilihan di peti undi atau adakah semua tadi
akan hanya tinggal angan-angan kerana kuasa memilih rakyat dirampas
melalui projek IC, pengundi hantu dan sebagainya?
Bayangkan apa yang mampu kita ubah?
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 25hb September 2012)
No comments:
Post a Comment