steadyaku47

Monday, 1 May 2017

SHAHBUDIN : MASA UNTUK PEMIMPIN UMNO TURUT BERTANYA ATAU AZIZ SHEIKH FADZIR BAKAL JADI MANGSA? Soalannya mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran berganda?



Seorang pemimpin UMNO dan wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang prihatin, akhirnya turut melontarkan soalan paling mudah - mana perginya wang yang sudah 1MDB bayar kepada Aabar BVI sebelum ini?

Soalan daripada beliau yang merupakan Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menyusul berikutan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dan IPIC untuk memikul tanggungjawab terhadap bon bernilai AS$3.5 bilion beserta dengan faedahnya sekali. 

Kata Aziz lagi, beliau menyokong penyelesaian yang dicapai itu, tetapi kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang AS$3.5 bilion yang dibayar sebelum ini.

Dalam pertikaian antara IPIC dengan 1MDB sehingga dibawa kepada Tribunal Timbangtara Antarabangsa, wang itu sepatutnya dibayar melalui anak syarikat IPIC, Aabar Investmet PJS tetapi telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island.
Soalan Abdul Aziz tambah relevan kerana berdasarkan rekod PAC, pembayaran AS$3.5 bilion itu sebenarnya dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh yang berbeza.

Bayaran pertama dibuat sebanyak AS1.367 bilion yang dibuat tahun 2012, diikuti AS$993 juta pada November 2014, AS$885 juta pada September 2014 dan akhir sekali AS$295 juta pada Disember 2014?

Bukan saja ke mana perginya wang itu perlu diperjelaskan, bahkan yang tidak kurang pentingnya ialah, adakah 1MDB langsung tidak menyedari pembayaran dibuat kepada syarikat klon, sedangkan ia dibuat sebanyak empat kali dan bukannya secara sekaligus?

Perumpaan mudahnya, katalah  jika kita tersalah meminum air yang telah basi atau masam, apakah sehingga empat kali hirupan, masih tidak disedari juga  ada sesuatu yang tidak kena pada minuman tersebut?

Apatah lagi, berdasarkan penyiasatan antarabangsa, wang yang dilencongkan melalui syarikat klon itu turut dikaitkan secara langsung dengan tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, pihak berkuasa Switzerland serta juga Singapura.

Oleh itu, persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Aziz seharusnya mendorong sama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk turut bangun bertanyakan perkara yang sama jika benar mereka juga mahukan kebenaran sepertimana keinginan rakyat yang lain.

Soalannya mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran berganda?

Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, rakyat merasakan ada yang tidak kena berhubung penyelesaian luar mahkamah itu kerana ia jelas memperlihatkan kaedah "tutup lubang gali lubang" diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Selebihnya, terpulang kepada Najib sama ada beliau mampu bersikap jujur dan berterus-terang mengenainya,  tetapi apa jua pendirian beliau setidak-tidaknya boleh dijadikan ukuran antara antara  hakikat "berani kerana benar atau takut kerana salah".

Adakah pemimpin UMNO lain yang berani bertanya menuruti langkah Abdul Aziz atau mereka lebih rela bersubahat dengan berdiam diri berkaitan kehilangan wang yang banyak itu, asalkan jawatan dan kedudukan terus terpelihara? 

Atau juga barangkali dalam sehari dua ini akan kedengaran Abdul Aziz tiba-tiba menjadi mangsa sebagaimana deretan yang lain sebelum ini yang telah dimangsakan hanya kerana bertanya soalan tentang 1MDB? (ShahbudinHusin 26/04/2017).




No comments:

Post a Comment