steadyaku47

Saturday 1 March 2014

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR BERHUBUNG PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI BEKALAN AIR SELANGOR


MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR BERHUBUNG PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI BEKALAN AIR SELANGOR


MEMORANDUM PERSEFAHAMAN INI bertarikh          hari bulan Februari 2014 antara KERAJAAN MALAYSIA (yang diwakili oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan KERAJAAN NEGERI SELANGOR.


A.        MENGAMBIL MAKLUM akan pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisyen bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.


B.        MENGAMBIL MAKLUM bahawa Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22 November 2007 dan lanjutan dari itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (selepas ini dikenali sebagai “LRAL2”) merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


TERMA-TERMA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN INI ADALAH SEPERTI BERIKUT:

1.         Dasar Kerajaan Persekutuan adalah bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air seluruh negara dilaksanakan melalui pengambilalihan pinjaman berkaitan bekalan air yang dibuat oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dan/atau syarikat-syarikat konsesi daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi-institusi kewangan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.  Sebagai balasan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan menyerahkan aset dan tanah berkaitan dengan perkhidmatan air kepada PAAB yang akan membiayai kos modal pembiayaan bagi pembinaan aset air yang baru, membaik pulih dan menaik taraf aset air sedia ada.  PAAB akan memajak semula tanah dan aset air kepada operator bekalan air negeri dengan sewa pajakan yang akan ditentukan antara Kerajaan-Kerajaan Negeri dan PAAB.

2.         Kerajaan Persekutuan bersetuju membenarkan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor melalui penggabungan (consolidation
) di bawah suatu syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor Kumpulan Darul Ehsan Berhad (“KDEB”).  Syarikat-syarikat yang terlibat yang pada masa ini mengendalikan perkhidmatan bekalan air secara konsesi (“Syarikat-Syarikat Konsesi Air”) adalah seperti berikut:

(i)            Syarikat Bekalan Air Selangor (M) Sdn. Bhd. (“SYABAS” atau “Syarikat Pengagihan Air”); dan

(ii)           Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (“SPLASH”), Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (“PNSB”) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (“ABASS”) (“Syarikat-Syarikat Rawatan Air”).

Terdapat juga sebuah lagi syarikat rawatan air iaitu Konsortium Air Selangor Berhad (“KASB”) yang berlesen di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

3.         Kerajaan Persekutuan akan memudah cara (facilitate) penstrukturan semula tersebut melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta 655 dan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan.

4.         Pelaksanaan penstrukturan semula industri air dan urusan pengambilalihan Syarikat-Syarikat Konsesi Air akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui—

(i)            Kumpulan Darul Ehsan Berhad (“KDEB”) membuat tawaran kepada pemegang-pemegang saham Syarikat-Syarikat Konsesi Air pada harga indikatif sebanyak RM9.65 bilion.  Pemegang-pemegang saham Syarikat-Syarikat Konsesi Air akan diberi tarikh akhir sehingga 10 Mac 2014 untuk menerima tawaran KDEB;

(ii)          harga indikatif KDEB berjumlah RM9.65 bilion adalah terdiri daripada komponen yang berikut:

(a)           nilai ekuiti ditambah dengan pulangan sebanyak 12% setahun, menyamai jumlah RM1.972 bilion pada 31 Disember 2012; dan

(b)           pinjaman dan bon sedia-ada di bawah Syarikat-Syarikat Konsesi Air yang dianggarkan sebanyak RM7.68 bilion pada 31 Disember 2012;

(iii)         selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.  Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor akan menyerahkan kepada PAAB “unencumbered” aset-aset air, atau ekuiti dalam Water SPV milik KDEB,(tertakluk kepada peratus ekuiti maksimum 30%), atas opsyen PAAB, pada nilai RM2 billion;    

(iv)         serentak dengan pengambilalihan Syarikat-Syarikat Konsesi Air oleh KDEB, jumlah pinjaman dan bon sebanyak RM7.68 bilion akan diambilalih oleh PAAB sebagai bayaran (consideration) untuk pemindahan unencumbered aset-aset air,atau ekuiti dalam Water SPV milik KDEB (tertakluk kepada peratus ekuiti maksimum 30%), atas opsyen PAAB, pada nilai yang sama di bawah Syarikat-Syarikat Konsesi Air;

(v) Apa-apa isu yang berbangkit dalam menentukan nilai aset di bawah perenggan (iii) dan (iv) yang tidak dipersetujui antara Kerajaan Negeri Selangor, KDEB dan PAAB hendaklah dirujuk kepada penimbangtara bebas yang bakal ditentukan secara bersama di antara semua pihak;
 (vi)         Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memberi kebenaran dan kelulusan berkenaan pengeluaran lesen perkhidmatan serta mana-mana kelulusan yang berkaitan dengan industri air di bawah Akta 655 kepada Kerajaan Negeri atau KDEB;

(vii)        pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan sebagaimana amalan penstrukturan semula air di negeri-negeri yang terdahulu akan memberikan pelepasan ke atas duti setem yang berkaitan dengan sebarang perjanjian dan pemindahan aset-aset yang timbul daripada pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air;


(viii)      Kerajaan Persekutuan akan menubuhkan suatu jawatankuasa yang akan turut dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan pelaksanaan pembangunan LRAL2; dan




(ix)         Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti dan sedang melaksanakan projek-projek mitigasi yang bersesuaian bagi membantu menangani masalah bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga LRAL2 beroperasi.  Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan amaun sebanyak RM909 juta bagi maksud tersebut.

5.         Sebagai balasan dan bagi maksud melaksanakan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah—

(a)          memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan atau perlu berhubung pembangunan LRAL2, termasuk kemudahan berkaitan sistem pengagihan bekalan air terawat dan kemudahan lain yang berkaitan, hendaklah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.  Kelulusan dan kebenaran yang dimaksudkan yang hendaklah termasuk  dan tidak terhad  kepada pengambilan  dan  pendaftaran tanah, permit penggunaan tanah rizab hutan diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh Memorandum Persefahaman ini dan kebenaran merancang hendaklah dikeluarkan dan mula berkuat kuasa selewat-lewatnya pada tarikh Memorandum Persefahaman ini; dan

(b)          memastikan bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan Persekutuan.



6.         Tiada apa-apa dalam Memorandum Persefahaman ini boleh menjejaskan hak mana-mana pihak kepada Memorandum Persefahaman ini untuk mengambil tindakan yang perlu yang sewajarnya demi untuk melindungi kepentingannya menurut Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang yang berkaitan.




UNTUK DAN BAGI PIHAK KERAJAAN MALAYSIA




………………………………………….…………….
YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus
Johnity Ongkili
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
UNTUK DAN BAGI PIHAK KERAJAAN    NEGERI SELANGOR




……………………………….………..………….
YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


No comments:

Post a Comment