steadyaku47

Friday 11 August 2017

Mohd Nazari Ismail : Adakah Benar 1MDB Mangsa Drama Politik?

Beberapa hari lepas beberapa orang ahli politik telah membuat kunjungan dan berjumpa dengan En Arul Kanda, pengurus 1MDB. Rombongan tersebut termasuk mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Komen-komen berkenaan isu 1MDB oleh Tan Sri Khalid Ibrahim susulan perjumpaan itu telah mendapat liputan meluas di dalam akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia. 
TS Khalid Ibrahim dilaporkan berkata kemelut 1MDB telah menjadi *mangsa drama politik* di samping penyebaran fakta-fakta dan maklumat salah terutama melalui media-media sosial. Antara lain beliau menyebut bahawa "...nilai kini bersih (net present value) aset yang dimiliki oleh 1MDB masih mampu membiayai liabiliti semasa dan masa hadapan,”. 
TS Khalid juga berkata " 1MDB boleh membuat pembayaran hutang yang sewajarnya apabila pendapatan dan keuntungan daripada transaksi aset oleh MOF Inc. mengalir ke 1MDB". 
Penulisan ini membentangkan beberapa persoalan yang ditujukan kepada TS Khalid berkaitan komen-komen beliau.
Umum mengetahui bahawa syarikat 1MDB telah gagal membayar hutangnya sebanyak USD 603 juta pada 31 Julai 2017 setelah bersetuju melakukannya dalam satu perjanjian beberapa bulan sebelum itu. Tidakkah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan syarikat ini? Tambahan pula 1MDB menyatakan bahawa ia mempunyai unit pelaburan (investment units) yang berada dalam simpanan di bank di Singapura yang banyak yang boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang-hutangnya. Kalau begitu kenapakah ianya tidak dapat digunakan untuk membayar hutang 1MDB kepada syarikat IPIC? Tidakkah TS Khalid bertanya kepada Arul Kanda kemungkinan bahawa dakwaan Department of Justice (DOJ) dari Amerika bahawa unit pelaburan itu adalah satu bentuk penipuan adalah benar? Mungkin itu adalah sebab utama kenapa ia tidak dapat dimanfaatkan oleh 1MDB? 
Di samping itu kita semua tahu sebenarnya nilai kini bersih aset yang dimiliki oleh 1MDB adalah hanya anggaran oleh pihak pengurusan 1MDB. Ini kerana ia meliputi anggaran aliran tunai ke hadapan (future cash flows) yang dirancang oleh mereka. Anggaran mereka mungkin betul. Tetapi anggaran masa hadapan adalah tetap anggaran dan bukannya sesuatu yang telah berlaku. Oleh itu mungkin anggaran tersebut berbeza dengan realiti di masa hadapan jika sesuatu yang tidak dirancang tiba-tiba berlaku. Banyak faktor boleh mempengaruhi masa hadapan 1MDB termasuk keadaan ekonomi semasa dan juga keadaan kewangan syarikat yang berkait dengan projek-projek yang akan dilaksanakan oleh 1MDB. Oleh itu adalah agak pra-matang (premature) bagi TS Khalid untuk mengandaikan bahawa 1MDB akan semestinya mempunyai keadaan surplus atau lebihan di masa hadapan dan akan dengan senang menyelesaikan masalah hutangnya.
Namun apa yang lebih menghairankan ialah kenapa TS Khalid boleh berasa berpuas hati dengan syarikat 1MDB sedangkan umum mengetahui bahawa beberapa perkara yang luar biasa telah dikaitkan dengan syarikat tersebut. Bahkan ada akhbar antarabangsa termasuk The Guardian dari United Kingdom menggelarkan 1MDB sebagai skandal kewangan terbesar di dunia (World’s Biggest Financial Scandal). 
Di samping itu adakah TS Khalid lupa bahawa laporan oleh Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB masih tidak boleh dibaca oleh rakyat Malaysia kerana masih di bawah OSA? Kenapakah laporan tersebut perlu diselindungi dari rakyat yang ingin mengetahui selok belok sebenar operasi 1MDB? Adakah kerana telah berlaku perkara-perkara yang kerajaan tidak mahu rakyat ketahui berkenaan operasi 1MDB? Di samping itu 1MDB sekarang adalah di bawah seliaan Kementerian Kewangan. Jika tidak wujud apa-apa masalah dengan 1MDB, kenapakah perlu 1MDB diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan? Dan apakah keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan pengurusan tertinggi 1MDB sebelum ini yang menyebabkan perlunya dilakukan langkah rasionalisasi ke atasnya?
Seterusnya TS Khalid patut juga bertanya kenapakah hutang 1MDB selama ini begitu tinggi sehingga pernah mencecah RM50 billion? Dan dimanakah dana hutang itu dibelanjakan sebenarnya? Ada
kah benar bahawa banyak transaksi atau urusniaga kewangan 1MDB bermasalah sehinggakan pengerusi eksekutifnya Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah meletakkan jawatan pada tahun 2009? Adakah benar bahawa Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan seorang ahli lembaga lain iaitu Tan Sri Azlan Mohd Zainol meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakan pengurus 1MDB memindahkan dana 1MDB berjumlah US$700 million yang telah diperuntukkan kepada projek usahasama 1MDB-PSI dihantar ke syarikat lain tanpa persetujuan lembaga pengarah syarikat? Tidakkah TS Khalid rasa berminat untuk berbincang dengan TS Mohd Bakke Salleh dan TS Azlan untuk mengetahui sebab sebenar mereka meletakkan jawatan sebelum TS Khalid merumuskan bahawa 1MDB adalah mangsa fitnah politik?
Sewajarnya TS Khalid paling kurang cuba dapatkan secebis gambaran mengenai cara 1MDB diurus pada tahun-tahun yang silam dari individu-individu di atas. Apa yang telah berlaku tidak boleh diketepikan dalam membuat penilaian tentang apa yang sedang dilakukan oleh 1MDB. Ini adalah kerana mereka-mereka yang berpengaruh dalam tindaktanduk yang menyebabkan 1MDB perlu dirasionalisasikan masih lagi berpengaruh sekarang. Justeru itu dalam menilai ‘kesihatan’ 1MDB sekarang, adalah perlu bagi kita mempersolkan sama ada langkah-langkah sekarang adalah lebih bermotifkan menutup bangkai gajah yang busuk, atau betul-betul menjaga kepentingan awam. 
Seperkara lagi ialah adakah benar dakwaan Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat bahawa wang berjumlah berbillion-billion telah dicuri oleh beberapa individu termasuk Jho Low dan digunakan untuk memperkayakan diri mereka sendiri serta mengadakan majlis harijadi maksiat dengan hidangan arak dan kehadiran wanita-wanita yang separuh bogel? Jika itu telah berlaku, kenapakah pengurusan 1MDB tidak mengambil langkah untuk mendapatkan balik dana tersebut dari mereka atau memastikan mereka ditangkap dan didakwa oleh kerajaan Malaysia. Ini memandangkan pihak berkuasa Switzerland dan Singapura telah mengesahkan bahawa beberapa individu yang rapat dengan Jho Low telah melakukan jenayah pengubahan wang (money laundering) dengan menggunakan dana 1MDB dan ada yang telah ditangkap dan dipenjarakan di Singapura berhubungan dengan kesalahan tersebut.
Jika dakwaan DOJ tidak benar dan kecurian telah tidak berlaku, kenapakah pengurusan 1MDB tidak mengambil langkah untuk membukitikan secara terperinci kepada dunia bahawa aliran-aliran wang yang dinyatakan oleh DOJ sebagai wang haram sebab dicuri dari 1MDB sebenarnya bukan wang 1MDB? 
Adakah TS Khalid telah menanyakan soalan-soalan di atas kepada Arul Kanda? Kalau ditanya, apa pula jawapan Arul? Kalau soalan di atas tidak ditanya, apakah asas sebenar kenapa TS Khalid boleh merasa begitu yakin terhadap pengurusan 1MDB sedangkan jelas telah tidak wujud ketelusan dan kebertanggungjawaban (accountability) di pihak pengurusan 1MDB? 
Akhir sekali TS Khalid pasti juga sedar bahawa oleh kerana 1MDB adalah milik kerajaan Malaysia, maka dana nya juga adalah secara tidak langsung adalah milik rakyat Malaysia. Oleh itu sebagai wakil rakyat TS Khalid patut peka dengan isu kemungkinan kecurian dana milik rakyat Malaysia telah berlaku. Apabila TS Khalid langsung tidak mengambil peduli tentang isu-isu di atas sudah tentu ini akan membuat orang tertanya-tanya apakah sebenarnya motif TS Khalid membuat kenyataan beliau yang menggambarkan seolah-olah 1MDB bukan sebuah syarikat yang bermasalah. 

------------------------------------------
Mohd Nazari Ismail, PhD.
Biro Penyelidikan IKRAM







No comments:

Post a Comment