steadyaku47

Wednesday 14 September 2016

Shahbudin Husin : Keluar beramai-ramai meninggalkan UMNO adalah cara terbaik untuk menunjukkan kepada Najib jalan keluar sudah terbentang luas untuknya.



JOM KITA KELUAR UMNO…


 
Sempena Hari Raya Aidil Adha dan diiringi dengan semangat korban, bermula hari ini, saya secara rasminya bukan lagi merupakan ahli UMNO.
Pemakluman bersurat mengenai perkara itu kepada ibu pejabat UMNO sudah pun dihantar melalui pos biasa sebentar tadi.
Dalam usaha menunjukkan penolakan terhadap Najib Razak, saya merasakan ahli-ahli UMNO yang tidak setuju dengan Najib tidak sekadar perlu mengundi selain BN dalam PRU akan datang, tetapi juga harus memberikan isyarat yang lebih jelas mulai sekarang lagi.
Keluar beramai-ramai meninggalkan UMNO adalah cara terbaik untuk menunjukkan kepada Najib jalan keluar sudah terbentang luas untuknya.
Mengecutkan kedudukan UMNO di mata umum bersama berbaiknya Tun Mahathir dengan Anwar serta kedudukan parti-parti pembangkang yang semakin senada untuk sama-sama menumbangkan BN, adalah pilihan yang tidak seharusnya diabaikan.

Lebih ramai yang sedia menghantar isyarat itu, bermakna lebih cerahlah perubahan yang ingin dilakukan itu.

Saya sepatutnya sudah lama meninggalkan UMNO, namun disebabkan sejak 2011 lagi bila mana pada tahun tersebut, saya menerbitkan dua buah buku, Najib Perdana Menteri Terakhir dan Kesilapan-Kesilapan Najib, nama saya telah dicadangkan oleh UMNO Bahagian Wangsa Maju kepada ibu pejabat parti untuk dipecat, maka saya mahu menunggu tindakan itu terlebih dahulu.

Saya merasakan jika saya keluar UMNO di ketika nama saya sedang dicadangkan untuk dipecat, maka saya akan dianggap penakut dan tidak berani berhadapan dengan Jawatankuasa Disiplin parti.

Saya tidak tahu mengapa sehingga sekarang saya tidak dipanggil untuk mengadap Jawatankuasa Disiplin, meskipun secara keseluruhannya saya telah menulis dan menerbitkan enam buah buku yang mengkritik serta menegur Najib.

Selain itu, sejak 2012, saya juga berterusan mengkritik, menegur dan kadang-kadang “membelasah” Najib melalui blog ini yang jumlahnya sudah melebihi 1000 artikel.

Tunggu punya tunggu tidak ada juga sebarang tindakan diambil terhadap saya dan kebetulan setelah tertubuhnya PPBM baru-baru ini, saya merasakan ketika ini adalah kemuncaknya untuk rakyat harus menunjukkan lebih penolakan terhadap Najib menjelang detik-detik PRU 14 akan datang.

Pendirian saya sudah difahami oleh ramai orang – Najib, UMNO dan BN tidak harus lagi diberi ruang memimpin negara ini. Sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti adalah pilihan terbaik untuk mengelakkan rakyat terus dibuli dan dibeli.

Sebagaimana saya menulis, menerbitkan buku, memblog dan hari ini meninggalkan UMNO, harapannya tidak lain – perubahan yang menjadi impian mudah-mudahan akan menjadi kenyataan.

Shahbudin Husin

No comments:

Post a Comment