steadyaku47

Thursday 22 March 2018

KEADILAN PAHANG MENGUTUK SEKERASNYA PENANGKAPAN KE ATAS MAZLAN ALIMAN DAN YAKIN WARGA FELDA AKAN BANGKIT




[22/03 15:21] Farid Azmi: Saudara Mazlan Aliman, Presiden ANAK, ditahan Polis awal pagi tadi, jam 1.30 pg atas Akta Komunkasi.


Apabila kami mendapat berita, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) Sdr Mazlan Aliman yang juga AJK Parti Amanah Negara (AMANAH) telah ditahan di rumahnya kira-kira jam 1.35 pagi tadi, kami merasa amat dukacita dan kesal di atas tindakan menahan beliau seolah-olah beliau seorang penjenayah besar yang perlu diburu seawal pagi tersebut.

Difahamkan beliau telah dibawa ke IPD Kulai dan berita terbaru yang kami terima beliau telah pun dibawa ke Bukit Aman untuk soal siasat. Kami tidak mendapat perkhabaran jelas mengapa beliau ditahan untuk soal siasat kecuali difahamkan berlanjutan daripada satu ceramah beliau yang mengaitkan isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Di dalam keadaan banyak laporan Polis telah dibuat kepada TPM, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri berkaitan isu kerahsiaan mengundi di dalam pilihanraya, serta laporan Polis terhadap MB Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Muhamad Hassan yang videonya tersebar luas di dalam satu program bersama Pemuda Umno di Negeri Sembilan yang secara jelas menyampaikan ucapan berbentuk ugutan serta provokasi, secara tiba-tiba yang ditahan dan disoal siasat adalah Sdr Mazlan Aliman. Apakah TPM dan MB Negeri Sembilan telah ditahan untuk siasatan?

Kami percaya, tindakan ini dilakukan kerana melihat kepada begitu agresifnya Sdr Mazlan Aliman memasuki seluruh kawasan felda untuk menyedarkan warga felda tentang banyak isu dan skandal besar melibatkan kepentingan peneroka dan felda. Ketakutan pihak pemerintah terhadap kesedaran yang semakin ketara di kalangan para peneroka menyebabkan Sdr Mazlan Aliman dikenakan dengan harapan agar Pengerusi ANAK ini akan gentar dan menutup mulutnya selepas ini.

Tindakan yang dilakukan kepada Sdr Mazlan Aliman tidak akan memberi keuntungan sedikit pun kepada Umno/Bn, bahkan kami percaya warga felda akan bertambah benci dan meluat dengan rejim Kleptokrasi ini. Warga felda rata-ratanya mengenali Sdr Mazlan Aliman yang juga seorang anak peneroka yang tidak pernah letih dan takut untuk berjuang membela nasib para peneroka.

Keadilan Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang telah diambil ke atas Sdr Mazlan Aliman dan mendesak agar beliau dibebaskan segera.

22 Mac 2018


Pengarah Komunikasi
Keadilan Negeri Pahang

No comments:

Post a Comment