steadyaku47

Thursday 23 April 2015

Dari FB Azzah Abdul Rahman : Saya berfikir, benarkah saya akan jadi pelupa apabila memandang salib? Sezalim itukah Tuhan, hanya dengan memandang salib maka Dia akan tarik semula memori saya?

Dari Fb Azzah Abdul Rahman

Semasa kami berada di Sa Pa, wilayah dalam Vietnam yang langsung tiada masjid dan majoriti penduduk menganut Kristian ini, kami bebas berjalan-jalan di setiap lorong sehingga ke perkampungan orang Hmong, tanpa seorang pun warga tempatan menuntut kami menurunkan... maksud saya, menanggalkan tudung.

Semasa kecil, ada seseorang memberitahu saya supaya jangan pandang tanda salib. Katanya boleh jadi pelupa. Waktu itu, saya percaya. Sehinggalah saya ke Baitulmaqdis pada Disember 1999, di mana sekiranya saya tidak memandang ke tanda-tanda salib, maka saya akan terlanggar orang, tiang, dan tembok. Di sekeliling Masjidil Aqsa ada berpuluh-puluh gereja, termasuklah bekas masjid yang sudah ditawan menjadi gereja; ada kubah tetapi di atasnya bukan bulan, digantikan dengan salib.

Pada masa itu saya berfikir, benarkah saya akan jadi pelupa apabila memandang salib? Sezalim itukah Tuhan, hanya dengan memandang salib maka Dia akan tarik semula memori saya?

Apakah iman seseorang tidak mampu menembok otak daripada jadi pelupa apabila mata terpandangkan tanda suci umat Kristian itu?

Jadi, selepas itu saya sudah tidak peduli lagi. Saya semakin dapat menerima kepelbagaian agama dan simbol suci masing-masing, dan belajar memahami kaedah Rasulullah melayani orang-orang yang belum Muslim dengan santun. Saya tidak lagi mengalami kepayahan untuk berjalan dan mengambil gambar apabila mengembara ke lokasi-lokasi minoriti Muslim. Dan saya jadi lebih mudah untuk menghormati penganut agama lain apabila melihat sendiri tempat ibadat mereka dan mengetahui apa yang mereka percayai. Semua itu secara automatik memberikan saya ilmu perbandingan agama, dan membuat saya lebih mempercayai agama saya sendiri.

Saya jarang bercakap tentang isu semasa di Facebook. Tetapi isu ini amat mengguris hati. Saya setuju pada kenyataan Wardina. Itu sebab saya mahu 'hantar' semua orang Melayu terutamanya, 'mengembara' ke luar negara, supaya rasakan pengalaman menjadi kaum minoriti. Rasakan kesukaran untuk bersuci dan berwuduk, cabaran solat di atas tanah, jalan tar, dan rumput. Rasakan berlapar dan ikat perut kerana sukar dapat makanan halal. Rasakan duduk dan berdiri dengan anjing dan babi berkeliaran di mana-mana. Rasakan betapa malu serta terharunya apabila mereka yang bahkan tidak mengenali Islam, lebih arif cara menghormati orang lain walaupun yang tidak seiman dengan mereka. Dan rasakan juga bagaimana menjadi 'duta' agama, apabila mereka mengajukan soalan-soalan tentang Islam.

Sudah-sudahlah, Melayu. Cina pun dibenci, walhal dalam wasiat terakhir Rasulullah ada peringatan bahawa tiada satu pun bangsa dalam dunia ini yang lebih mulia daripada bangsa lain. Sudahlah, Melayu. Kita tidak akan jadi lebih baik daripada Cina, India, ataupun Kristian, selagi kita tidak pamerkan apa sebenarnya yang Islam ajarkan. Sudahlah, berhentilah memalukan bangsa dan agama sendiri. Hargai usaha Nabi yang sehinggakan dijirus kotoran unta, keluar berperang, malah berkali-kali cuba dibunuh demi memastikan kita dapat ajaran benar yang dihantar oleh Tuhan.

Berhentilah mengajarkan perkara karut-marut yang Nabi tidak ajar. Daripada memomokkan orang tentang pandang salib jadi pelupa (dan jika menunjuk pelangi jari akan kudung dll), lebih baik masa yang ada digunakan untuk belajar mendalami agama sendiri supaya iman jadi kuat dan kebal. Supaya hati tidak penuh dengan kebencian terhadap bangsa dan penganut agama lain, dan mengangkat-angkat kemuliaan diri sendiri yang tiada jaminan tiket syurga pun.

Terima kasih, saudara-saudara Muslim di Malaysia yang menolak kebiadapan pihak yang membuli rakan-rakan Kristian kita di Taman Medan. Tahniah, kerana penolakan itu membuktikan kalian sememangnya faham ajaran Nabi Muhammad yang kita kasihi.

Selawat kepada Rasulullah yang kita rindui.

No comments:

Post a Comment